Click klik
Monday, October 18, 2010
JADI BAHAN KETAWA: Siapa sangka di sebalik perut Encik Bhagat rupa-rupanya hidup makhluk yang tidak cukup sifatnya tetapi berkaki dan bertangan serta berkuku panjang. - Foto ABC
17 Okt 2010
Si 'lelaki bunting'
Lelaki di India tak sedar 'bawa' bayi di perut selama 36 tahun...
MELIHATNYA berjalan dengan perut yang terbuyut-buyut, ada yang sempat melemparkan kata-kata kesat, memanggil Encik Sanju Bhagat 'si lelaki bunting'.
Peristiwa yang berlaku lebih sedekad lalu itu membuatkan Encik Bhagat, 47 tahun, berasa malu. Nafasnya tersekat-sekat ketika berjalan pantas kerana perut yang 'sarat', bagaikan wanita hamil sembilan bulan.
Tidak diduga, di dalam perutnya yang membesar itu, hidup seorang bayi selama 36 tahun lamanya. Bayi itu dipercayai merupakan kembarnya - satu misteri perubatan dan kondisi yang dipanggil fetus in fetu atau janin di dalam janin.
Ia merupakan sesuatu yang tidak normal yang menyebabkan segumpal tisu - yang kelihatan seperti janin - tumbuh di dalam badan.
Terdapat dua teori sebab keadaan ini terjadi. Satu teori membabitkan gumpalan janin biasa yang kemudian tersembunyi dan diselaputi janin kembarnya.
Satu lagi teori menyatakan bahawa gumpalan tersebut adalah ketumbuhan atau teratoma yang membesar dengan sel-sel.
Fetus in fetu jarang-jarang berlaku dan dianggarkan hanya ditemui sekali sahaja dalam 500,000 kelahiran di dunia.
PERUT MACAM NAK 'MELETUP'
Bagi Encik Bhagat, seorang petani di Nagpur, India, kesengsaraan yang membelenggu kehidupannya. Beliau, yang mengimbas semula kejadian ngeri yang berlaku kepadanya ketika ditemui laman ABC News, berkata masalah perutnya yang membesar itu mencetuskan keadaan cemas apabila beliau terasa ia seakan hampir 'meletup'.
Beliau dikejarkan ke hospital apabila doktor menyifatkan ada ketumbuhan raksasa dalam perutnya yang perlu dibedah kerana ia membahayakan nyawa.
'Ketumbuhannya begitu besar sehingga ia menghimpit diafragmanya. Sebab itulah, beliau tercungap-cungap dan lelah,' kata Dr Ajay Mehta yang merawatnya di Hospital Tata Memorial di Mumbai.
Mulanya Dr Mehta dan pasukannya menjangkakan mereka bakal menghadapi kesukaran kerana tumor itu begitu besar untuk dibedah.
Tanpa diduga, sewaktu membedah Encik Bhagat, Dr Mehta terjumpa sesuatu yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Bergelen cecair memancut keluar daripada perut Encik Bhagat sebelum Dr Mehta dikejutkan dengan sepasang tangan yang terkulai layu di dalam perut itu.
'Saya terperanjat. Saya bagaikan boleh bersalaman dengan 'barang' dalam perut Encik Bhagat itu. Ia amat mengejutkan,' cerita Dr Mehta, suaranya masih terketar-ketar, mengenang peristiwa ngeri itu.
Teman Dr Mehta, juga pakar perubatan, yang enggan namanya disiarkan, pula mengimbas semula keadaan di bilik pembedahan.
'Dr Mehta meletakkan tangannya ke dalam perut Encik Bhagat. Katanya, macam ada banyak tulang di dalam perut lelaki itu. Mulanya, satu lengan keluar. Kemudian, satu lagi lengan. Ada sebahagian kemaluan, beberapa helai rambut, betis dan rahang manusia pula!' ujar doktor itu.
Di dalam perut Encik Bhagat, rupa-rupanya hidup makhluk yang tidak cukup sifatnya tetapi berkaki dan bertangan serta berkuku panjang.
'Kami terasa bulu roma kami berdiri! Kami bingung dan hairan,' kata Dr Mehta.
Sekilas pandang, Encik Bhagat bagaikan telah melahirkan. Sebenarnya, apa yang dikeluarkan merupakan serpihan tubuh yang sudah reput, yang dipercayai merupakan kembar Encik Bhagat.
Janin kembarnya mati dan hanya hidup sebagai parasit selepas terperangkap di dalam tubuh Encik Bhagat.
Dalam keadaan sebegini, tali pusat janin parasit itu tetap terkait dan menyedut bekalan darah Encik Bhagat sehingga membahayakan nyawanya. Encik Bhagat pula lega selepas pembedahan itu dijalankan. Namun, beliau enggan mengambil tahu tentang apa yang Dr Mehta lakukan pada 'khazanah' di dalam perutnya itu kerana akur beliau jenis yang penakut dan tidak sanggup mendengar kisah-kisah yang menyeramkan.
Selepas pembedahan dijalankan, kesakitan dan kesesakan nafas Encik Bhagat langsung hilang. Kes ini merupakan sesuatu yang menakjubkan bagi Dr Mehta dan teman-temannya, tetapi bagi Encik Bhagat, kesengsaraan yang dilaluinya selama 36 tahun, memalukan dan meragut tangkai hatinya.
'Hingga kini, walaupun kesihatan saya pulih seperti orang lain, saya masih lagi diusik dan dipersenda. Mereka kata saya menjalani pembedahan dan melahirkan 'anak' yang telah mati untuk mengempiskan perut saya!' katanya lagi.
p/s Satu dalam 500,000 kelahiran...... sebab kecelaruan biologi gamaknya!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
salam..Masya-Allah..ngeri pun ada. Maha Suci Allah.
ReplyDelete